Yamaha MT-03 ABS 2020 dilancarkan di pasaran Jepun, kini tampil berwajah baharu

Untuk pasaran Jepun bagi musim 2020, Yamaha masih menawarkan dua model yang hampir sama iaitu MT-25 ABS dan MT-03 ABS. Perbezaan utama antara kedua-dua model ialah dari segi kapasiti enjin dan penggunaan tayar, di mana MT-03 ABS menggunakan tayar radial baharu yang mempunyai prestasi dan keselesaan lebih baik.

Yamaha MT-03 ABS model tahun 2020 ini dilengkapi enjin dua silinder sebaris bersesaran 320cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, yang kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dan tork 29Nm @ 9,000rpm. Sebagai perbandingan, janaan kuasa enjin MT-25 ABS adalah sebanyak 35PS @ 12,000rpm dan tork 23Nm @ 10,000rpm.

Antara ciri-ciri baharu yang didatangkan untuk MT-03 ABS termasuklah penutup tangki minyak dengan rekaan baharu, fork depan jenis upside-down, bar hendal yang lebih tegak dan lebih tinggi untuk peningkatan prestasi pengendalian, paparan meter LCD yang berinformasi dan lampu kecemasan dengan lampu pengelip LED kecil baharu.

Harga yang ditawarkan untuk MT-03 ABS ini adalah sebanyak 654,500 Yen, bersamaan RM 26,569.22 mengikut kadar tukaran semasa. Sama seperti model MT-25 ABS, ianya telah berada di pasaran domestik Jepun bermula dari tarikh 28hb. Mac 2020, dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Matte Light Gray, Blue dan Black.

(Visited 167 times, 1 visits today)