Benelli Leoncino 500 Trail model tahun 2020

Benelli Leoncino 500 Trail model tahun 2020 ini merupakan versi “all terrain” untuk model “street bike” Leoncino 500. Kedua-duanya berkongsi enjin 500cc yang sama dengan ciri-ciri seperti empat lejang, dua silinder dan sistem sejukan cecair, seterusnya menawarkan kuasa maksimum 47.6hp @ 8,500rpm dan tork 46Nm @ 6,000rpm.

Leoncino 500 Trail dilengkapi tayar jenis knobby yang dipasangkan pada rim aloi aluminium 19 inci di bahagian depan dan 17 inci di bahagian belakang, masing-masing dalam siri 110/80-R19 dan 150/70R17. Gabungan semua itu memberikan jaminan untuk kestabilan dan keseronokan maksimum dalam semua situasi medan tunggangan.

Sistem suspensi boleh laras hadir dengan fork depan berdiameter 50 mm dan lengan ayun belakang yang dipadankan penyerap hentak lateral dengan travel 55 mm. Untuk pemberhentian yang selamat, di bahagian depan ialah cakera berkembar 320 mm dengan kaliper terapung dua piston dan ABS, manakala di bahagian belakang boleh didapati brek cakera 260 mm dengan kaliper piston tunggal, juga dengan ABS.

Benelli Leoncino 500 dan Leoncino 500 Trail juga mempunyai casis yang sama. Bingkainya diperbuat daripada tiub keluli trellis yang hujungnya tersembunyi di bawah tangki. Sementara itu, lampu depan menampilkan teknologi LED dan paparan instrumen adalah digital sepenuhnya. Tidak dilupakan ialah grafik Singa di atas mudguard depan, sama seperti model-model lain di dalam rangkaiannya.

Untuk musim jualan tahun 2020, Benelli Leoncino 500 Trail boleh didapati dalam empat pilihan warna yang menarik seperti merah, perak, hitam dan gangsa. Buat masa ini, Benelli Leoncino 500 Trail masih belum ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

(Visited 71 times, 1 visits today)