Modenas umum penurunan harga untuk Pulsar RS200 dan Dominar D400

Pada tarikh 09hb. Mac 2020 yang lepas, Modenas telah mengumumkan penurunan harga untuk dua model keluarannya iaitu Pulsar RS200 dan Dominar D400.

Bagi model Pulsar RS200, harga baharunya kini ditetapkan kepada RM 9,900.00 daripada harga asal RM 11,350.00, manakala harga baharu untuk Dominar D400 ialah RM 13,788.00 berbanding harga lama RM 15,488.00.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan yang dilaporkan berkata, penurunan harga untuk kedua-dua model tersebut mampu dilakukan melalui kos pembuatan yang berjaya dikurangkan.

Modenas Pulsar RS200 dilengkapi enjin bersesaran 199.5cc (single cylinder, 4 stroke, SOHC, 4-valve, liquid cooled, triple spark) yang menghasilkan kuasa maksimum 24.5PS @ 9,750rpm dan tork 18.6Nm @ 8,000rpm.

Model tersebut turut dilengkapi lampu depan projektor jenis berkembar, sistem brek cakera dengan ABS (sistem brek anti-kunci) di bahagian depan, brek cakera di bahagian belakang dan tangki bahan api dengan isian maksimum 13 liter.

Bagi model Modenas Dominar D400 pula, ianya memiliki enjin bersesaran 373.3cc dengan kuasa maksimum 35PS @ 8,000rpm dan tork puncak 35Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan.

Dengan penurunan harga yang diumumkan tersebut, dapatlah dikatakan bahawa kedua-dua model Pulsar RS200 dan Dominar D400 sangatlah berbaloi untuk dimiliki.

(Visited 1,628 times, 1 visits today)