Yamaha lancar SEROW250 Final Edition 2020 untuk pasaran domestik Jepun

Pada awal tahun ini, Yamaha telah melancarkan model SEROW250 Final Edition 2020 untuk pasaran Jepun, dengan jualannya bermula pada tarikh 15hb. Januari 2020.  Melalui pengenalan model Mountain Trail edisi terakhir tersebut, pengeluaran SEROW250 untuk pasaran domestik Jepun secara rasminya akan ditamatkan.

Menurut Yamaha, siri SEROW dilancarkan pada tahun 1985 sebagai kategori baharu motosikal yang menawarkan tunggangan menyeronokkan, dengan fungsi dan kebolehannya untuk meredah jauh ke dalam alam sekitar. Ianya digunakan oleh pelbagai golongan pelanggan sama ada pemula atau penunggang berpengalaman.

Yamaha SEROW250 Final Edition 2020 didatangkan bersama-sama dua pilihan warna iaitu Putih/Hijau dan Putih/Merah, yang mengingatkan kepada model pertama keluaran tahun 1985. Untuk pasaran domestik Jepun, SEROW250 Final Edition ditawarkan pada harga sebanyak 588,500 Yen, bersamaan RM 23,909.40 mengikut kadar semasa.

Beralih ke bahagian teknikal, SEROW250 Final Edition memiliki enjin berkapasiti 249cc (empat lejang, satu silinder, SOHC, 2-valve, sejukan udara, sistem suntikan bahan api) yang menghasilkan kuasa maksimum 20PS @ 7,500rpm dan tork 20Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan sistem transmisi lima kelajuan.

Ciri-ciri lain yang melengkapi SEROW250 Final Edition termasuklah sistem brek cakera depan dan belakang, ketinggian tempat duduk 830mm, jarak kelegaan tanah minimum 285mm, tangki bahan api maksimum 9.3 liter, dan berat hanya 133 kg. Model tersebut dipasangkan rim aluminium dengan diameter 21 inci di depan dan 18 inci di belakang.

(Visited 50 times, 1 visits today)