Honda Rebel 500 2020 di pasaran Jepun terima pembaharuan

Honda baru-baru ini telah mengumumkan Rebel 500 di pasaran Jepun telah menerima beberapa pembaharuan untuk tahun 2020. Antaranya termasuklah penggunaan lampu LED sepenuhnya dan tambahan paparan penunjuk posisi gear di panel meter.

Motosikal bergaya cruiser itu juga telah menerima sistem Assist & Slipper Clutch, sementara tuil klac rekaan baharunya dikatakan mampu mengurangkan beban operasi dan menjadikan pengendaliannya lebih mudah. Perubahan spesifikasi suspensi depan dan belakang pula membolehkan keselesaan perjalanan dipertingkatkan.

Pilihan warna yang ditawarkan masih sama iaitu Graphite Black dan Matte Armored Silver Metallic. Harga jualan yang ditetapkan ialah 799,700 Yen, bersamaan RM 31,182.70 mengikut kadar semasa. Sasaran jualan tahunan adalah sebanyak 450 unit.

Honda Rebel 500 dikuasakan enjin dua silinder dengan kapasiti 471cc, dan mampu menjana prestasi maksimum sehingga 46PS @ 8,500rpm dengan tork 43Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Rebel 500 antaranya ialah tangki bahan api dengan isian maksimum 11 liter, berat motosikal 190 kg, ketinggian tempat duduk 690 mm, serta sistem brek jenis cakera depan dan belakang untuk pemberhentian yang cekap.

(Visited 238 times, 2 visits today)