Yamaha Tracer 900 2020 bersedia ke mana saja destinasi

Penampilan Yamaha Tracer 900 model tahun 2020 mungkin tidak sedramatik penampilan Yamaha Tracer 700 2020 terbaharu, namun model ini kekal menawarkan prestasi yang mengujakan dalam segmen touring dan bersedia untuk menuju ke mana sahaja destinasi tanpa sebarang masalah yang dapat menghalangnya.

Berdasarkan maklumat daripada siaran akhbar Yamaha Motor Europe, tiada sebarang perubahan baharu dari segi teknikal untuk Tracer 900 musim ini, dan dua pilihan warna yang ditawarkan ialah Icon Grey dan Tech Black. Ianya kekal dikuasakan enjin 847cc (3-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, seterusnya menawarkan prestasi mewah pada angka 115PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 87.5Nm @ 8,500rpm.

Untuk bantuan dan kemudahan sewaktu tunggangan, Yamaha Tracer 900 dilengkapi sistem elektronik canggih seperti pilihan tunggangan D-MODE, Traction Control System (TCS), sistem brek ABS dan juga tersedia pilihan untuk pemasangan Quick Shifter System. Sistem Assist & Slipper Clutch pula menawarkan kelancaran yang lebih baik sewaktu operasi menurunkan gear, seterusnya mengekalkan kestabilan casis.

Sebagai sebuah motosikal touring atau kembara, Yamaha Tracer 900 dilengkapi tangki minyak dengan isian penuh 18 liter, yang membolehkannya pergi sejauh mungkin sebelum perlu diisi semula. Selain itu keselesaan untuk penunggang dan pembonceng juga berada pada tahap tertinggi, antara ciri yang sangat diperlukan sewaktu menempuh perjalanan yang panjang. Casis jentera ini juga direka dengan ciri ergonomik dan memberi perlindungan daripada rintangan angin dengan berkesan.

Untuk kestabilan tunggangan, rim rodanya dipasangkan tayar depan dalam siri 120/70ZR17M/C (58W) dan belakang 180/55ZR17M/C (73W). Ciri-ciri lain yang melengkapi perwatakan Tracer 900 ialah ketinggian tempat duduk 850mm (maksimum 865mm), jarak kelegaan bumi minimum 135mm dan berat 214 kg (wet weight).

(Visited 711 times, 1 visits today)