Modenas Ninja 250 SE ABS bakal dilancarkan separuh kedua 2020

Modenas baru-baru ini telah mempamerkan model pertama mereka hasil daripada kerjasama terkini dengan Kawasaki. Dipamerkan di lobi bangunan MITI sewaktu pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, model tersebut ialah Modenas Ninja 250 SE ABS.

Berdasarkan laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, model tersebut bakal dilancarkan di pasaran Malaysia bermula separuh kedua tahun 2020 ini. Modenas juga memberi jaminan bahawa model yang dipasang di kilang mereka di Gurun, Kedah itu akan mengekalkan spesifikasi sama seperti yang ditawarkan oleh Kawasaki, begitu juga dengan tahap kualitinya. Modenas Ninja 250 SE ABS dikatakan hanya mengalami perubahan di bahagian logo sahaja melalui penggunaan logo Modenas.

Sementara itu menurut beliau lagi, Modenas juga akan memasang model-model Kawasaki yang lain di bawah kelas 700cc, namun perincian mengenai model-model tersebut masih belum diumumkan. Tahun ini Modenas merancang untuk melancarkan lapan model baharu dan dijangkakan separuh daripadanya merupakan model keluaran Kawasaki yang dijenamakan semula oleh Modenas.

Mengenai model Modenas Ninja 250 SE ABS, ianya merupakan model tahun 2020 dengan penarafan Euro 4, dan tampil dengan warna Metallic Spark Black / Metallic Matte Graphite Gray, sama seperti model Kawasaki Ninja 250 yang dijual di pasaran Jepun ketika ini. Untuk pasaran Jepun, dua pilihan warna lain yang turut ditawarkan ialah Pearl Blizzard White / Metallic Spark Black dan Lime Green / Ebony (KRT Edition).

Dari segi prestasi, Modenas Ninja 250 SE ABS dikuasakan enjin 249cc dua silinder DOHC dengan sistem sejukan cecair, dengan penghasilan kuasanya mencapai 37PS @ 12,500rpm dan tork maksimum 23Nm @ 10,000rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan. Berat motosikal mencapai tahap 167 kg (curb mass), manakala tangki bahan apinya mampu memuatkan isian petrol maksimum 14 liter.

Berkenaan harga, Modenas Ninja 250 SE ABS dijangka akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding harga Ninja 250 yang ketika ini dijual oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB) sebanyak RM 23,071.00. Sementara menantikan pelancaran rasmi Modenas Ninja 250 SE ABS dalam separuh kedua tahun ini, saksikan dahulu model kembarnya Ninja 250 model tahun 2020 di pasaran Jepun, dalam galeri yang disiarkan di bawah.

Sumber rujukan media : Harian Metro

Galeri : 2020 Kawasaki Ninja 250 (Japan)

(Visited 1,274 times, 1 visits today)