Yamaha E115M tiada lagi di pasaran Malaysia Timur

Mungkin ramai yang tidak mengenali model kapcai Yamaha E115M, memandangkan model tersebut diperkenalkan khusus untuk pasaran Malaysia Timur sahaja (Sabah, Sarawak dan Labuan). Yamaha E115M dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) dalam bulan Februari 2015, bertempat di Kuching, Sarawak.

Ianya dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 114cc dengan ciri satu silinder, sejukan udara, SOHC 2-injap dan menggunakan sistem karburator. Sistem suspensi Yamaha E115M terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang. Sistem brek yang ditawarkan hanya daripada jenis gelendong di bahagian depan dan belakang roda yang dikira sudah memadai.

Rim roda tuangan dengan rekabentuk menarik dibekalkan tayar dalam siri 70/90-17 M/C38P untuk bahagian depan, manakala tayar siri 80/90-17 M/C50P dipasangkan di bahagian belakang. Yamaha E115M mempunyai ketinggian tempat duduk 755 mm, kapasiti tangki bahan api 4.2 liter dan berat motosikal mencapai angka 96 kg.

Antara ciri-ciri menarik yang ada pada Yamaha E115M ialah rekaan lampu depan dan lampu isyarat depan yang moden dan aerodinamik, pemegang tempat duduk yang selesa dan ergonomik, rekaan ekzos yang bergaya dan mematuhi piawaian Euro 3 dalam pengeluaran asap dan bunyi, ruang simpanan di bawah tempat duduk untuk barangan peribadi, rekaan panel meter yang menarik dengan penanda kedudukan gear, lampu brek belakang dan lampu isyarat belakang yang terang, dan kunci pembuka tempat duduk di bawah lampu brek belakang yang mudah dikendalikan.

Sewaktu dilancarkan, Yamaha E115M tersedia dalam dua pilihan warna sahaja iaitu Merah dan Biru, dengan harga asas sebanyak RM 4,800.00. Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang HLYM baru-baru ini, Yamaha E115M tidak lagi dipaparkan di bahagian laman produk. Tidak dapat dipastikan bilakah pengeluaran model tersebut telah dihentikan oleh HLYM.

(Visited 220 times, 1 visits today)