Suzuki Satria F150 2020 di pasaran Indonesia

Di saat kita semua sudah melupakan model Suzuki Belang 150 yang pernah ditawarkan di pasaran tempatan, pasaran Indonesia masih lagi kental dengan Suzuki Satria F150 yang kini sudah sampai ke model tahun 2020. Diperkenalkan dalam bulan September tahun lepas, Suzuki Satria F150 2020 boleh didapati dalam pilihan lima warna menarik.

Menurut maklumat di dalam brosur, tiga daripadanya ialah warna Special Edition iaitu Titan Black – Rouge Red CW, Metallic Triton Blue (GP Edition) dan Brilliant White – Vigor Blue CW, manakala dua warna lagi ialah dalam Predator Series iaitu Metallic Matt Stellar Blue dan Matt Black. Bahagian grafik juga telah menerima kemaskini baharu.

Suzuki Satria F150 di pasaran Indonesia merupakan model generasi baharu dan ianya tidak sama dengan Belang 150 yang pernah dijual di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu. Dari segi spesifikasi teknikal, tidak ada perubahan di antara model 2019 dan 2020, di mana Satria F150 masih dilengkapi enjin 147.3cc satu silinder, sejukan cecair dan DOHC 4-valve, dengan kuasa 18.3hp @ 10,000rpm dan tork 13.8Nm @ 8,500rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Satria F150 termasuklah enjin yang berkuasa dengan sistem fuel injection, transmisi enam kelajuan, sistem penghidup 1-Push Electric Starter yang memudahkan, kunci dengan kelengkapan Security Alarm dan kehadiran pengecas USB untuk kemudahan penunggang mengecas telefon pintar. Tidak dilupakan ialah panel meter digital sepenuhnya yang moden dan berinformasi.

Selain itu, Satria F150 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 765 mm, berat kering motosikal 109 kg, tangki minyak dengan isian maksimum 4 liter, suspensi fork teleskopik di bahagian depan dan monoshock di bahagian belakang, serta sistem brek cakera depan dan belakang yang mantap untuk pemberhentian yang selamat.

Harga yang ditawarkan untuk Suzuki Satria F150 2020 di pasaran Indonesia adalah sebanyak Rp 25,360,000, bersamaan RM 7,711.96 mengikut kadar semasa (Harga On The Road Jakarta Februari 2020). Selain daripada Indonesia, pasaran ASEAN lain yang turut menjual Satria F150 ketika ini ialah pasaran Thailand, Vietnam dan Filipina.

(Visited 214 times, 1 visits today)