HLYM perkenal Yamaha YZF-R25 2020 dengan kemaskini warna dan grafik baharu

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini telah memperkenalkan Yamaha YZF-R25 model tahun 2020 untuk pasaran Malaysia, yang kini hadir dengan dua pilihan warna dan rekaan grafik baharu yang menarik iaitu Matt Blue dan Matt Silver.

Yamaha YZF-R25 2020 masih mengekalkan perwatakan sebelumnya dengan ciri-ciri seperti wajah depan bergaya agresif inspirasi model supersport YZF-R1, lampu depan LED jenis berkembar, rekaan suis 3 dalam 1 yang diinspirasikan daripada motosikal besar (big bikes) dan gaya rekaan badan yang ergonomik dan ramping serta diperhalusi juga diinspirasikan daripada model YZF-R1.

Ciri-ciri standard lain yang melengkapi Yamaha YZF-R25 adalah seperti paparan panel instrumen LCD digital yang memaparkan pelbagai maklumat berguna dan fork depan jenis terbalik (inverted front fork) yang dipertingkatkan prestasi di samping hadir dalam warna emas yang memberikan kesan visual lebih sporty.

Yamaha YZF-R25 2020 dikuasakan enjin bersesaran 249cc (Up right two-cylinder, 4-Stroke, 8 Valve DOHC) yang menghasilkan kuasa maksimum 35.5hp (26.5kW) @ 12,000rpm dengan tork puncak 22.6Nm @ 10,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api yang cekap dan dipadankan transmisi enam kelajuan.

Menggunakan kerangka badan jenis berlian, YZF-R25 mempunyai ketinggian tempat duduk 780mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 14.3 liter dan berat 166 kg (termasuk minyak enjin dan petrol). Sistem brek cakera depan (dual piston floating) dan brek cakera belakang (single piston) melengkapkan aspek keselamatan motosikal ini.

Harga yang disyorkan oleh HLYM untuk Yamaha YZF-R25 model tahun 2020 ini kekal tidak berubah iaitu RM19,998.00 (harga asas tanpa kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dan telah berada di bilik pameran pengedar Yamaha sejak 17hb. Februari 2020.

(Visited 470 times, 1 visits today)