Yamaha 135LC model tahun 2019 di pasaran Malaysia

Dalam bulan Jun 2019 yang lalu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah memperkenalkan Yamaha 135LC model tahun 2019 terbaharu dengan beberapa perubahan kecil (minor change) agar penampilannya kekal menarik.

Empat perubahan baharu tersebut ialah penutup hon baharu, rekaan pelindung enjin baharu (under cowl panel) yang menutup bahagian bawah enjin, pengalir udara baharu (air scoop) di kiri dan kanan dan panel meter yang kini hadir dengan rekaan baharu.

Yamaha 135LC 2019 dilengkapi enjin berkapasiti 134cc dengan satu silinder yang menghasilkan kuasa maksimum 8.93kW @ 8,500rpm dan tork 11.79Nm @ 5,500rpm, seterusnya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan (rotary type 4-speed). Tangki bahan api motosikal moped tersebut mampu mengisi petrol maksimum 4 liter.

Sistem breknya terdiri daripada unit cakera di bahagian depan dan jenis dram di bahagian belakang, manakala ukuran tayar depan ialah 70/90 – 17 dan belakang 80/90 – 17. Suspensi depan dan belakang masing-masing jenis telescopic dan monocross.

Yamaha 135LC 2019 didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik seperti Fiery Red, Storm Blue dan Comet Grey. Harga asas yang ditetapkan pula adalah sebanyak RM6,868.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

(Visited 240 times, 1 visits today)