MV Agusta Dragster 800 RR SCS model tahun 2020

MV Agusta Dragster 800 RR SCS merupakan satu lagi model terbaharu untuk musim 2020 yang menerima teknologi SCS 2.0 (Smart Clutch System), sama seperti yang diterima oleh model Brutale 800 RR SCS 2020. Teknologi moden tersebut memberi lebih kemudahan apabila mampu beroperasi tanpa menggunakan tuas klac. Bermakna gear dan klac tetap ada, cuma penunggang boleh memilih untuk mengabaikannya.

Rekaan model Dragster tersebut juga sama menonjol, cantik dan menawan, malah turut dilengkapi enjin 798cc tiga silinder yang berprestasi tinggi. Dipadankan transmisi enam kelajuan, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 140hp @ 12,300rpm dengan tork puncak 87Nm @ 10,100rpm. Enjin tersebut seterusnya dilengkapi teknologi pengurusan enjin canggih yang diberi nama MVICS 2.0 dan juga sistem electronic quick-shift MV EAS 2.1 (Electronically Assisted Shift up & down).

Berat kering MV Agusta Dragster 800 RR SCS model tahun 2020 ini ialah 168 kg, dengan kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 16.5 liter. Kelajuan maksimumnya pula dikatakan mencapai angka 244 km/j. Pemberhentian yang selamat kemudiannya ditugaskan kepada sistem brek Brembo dengan ABS daripada Bosch. Harga yang ditawarkan di pasaran Eropah untuk model berkenaan bermula dari 19,490 Euro, bersamaan RM 87,424.28 mengikut kadar tukaran semasa.

(Visited 1,605 times, 1 visits today)