Benelli Imperiale 400 model tahun 2020

Motosikal bergaya klasik sentiasa mempunyai golongan peminatnya yang tersendiri. Oleh itu Benelli tidak ketinggalan menawarkan Benelli Imperiale 400 yang tampil dengan citarasa klasik yang cukup elegan. Menurut Benelli, motosikal ini diinspirasikan daripada rangkaian model Benelli-MotoBi yang dikeluarkan pada tahun 1950an.

Benelli Imperiale 400 dilengkapi enjin dengan kapasiti 374cc (single cylinder, 4-stroke, air cooled, single overhead camshaft SOHC, double spark, electronic fuel injection) yang digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan. Janaan kuasa yang dihasilkan mencapai 21PS @ 5,500rpm dengan tork tertinggi 29Nm @ 4,500rpm.

Sistem suspensi depan Benelli Imperiale 400 terdiri daripada unit fork teleskopik dengan diameter 41mm dan jarak travel 121mm, manakala dua penyerap hentak berkembar di bahagian belakang hadir dengan travel 55mm. Rekaan sistem ekzos dan tangki minyak termasuk lampu jenis bulat menyerlahkan perwatakan retro model ini.

Untuk pemberhentian yang efektif, Imperiale 400 didatangkan sistem brek depan dengan cakera berdiameter 300mm dengan kaliper terapung dua piston, diikuti oleh cakera 240mm di bahagian belakang dengan kaliper terapung dan satu piston tunggal. Ini memastikan tunggangannya sentiasa selamat dan berada dalam kawalan.

Beralih ke bahagian roda, rim aloi aluminium yang melengkapinya mempunyai diameter yang berbeza, di mana untuk bahagian depan ukurannya ialah 19 inci dan untuk bahagian belakang ialah 18 inci. Kedua-dua rim tersebut dipasangkan tayar 100/900-19 dan 130/80-18. Tangki bahan apinya pula boleh diisi maksimum sehingga 12 liter.

Untuk musim jualan 2020, Benelli Imperiale 400 ditawarkan dalam tiga pilihan warna seperti Hitam, Perak dan Merah. Untuk pasaran Malaysia, Benelli Imperiale 400i dilancarkan pada awal November 2019, dengan harga jualan asas sebanyak RM 15,888.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

(Visited 1,442 times, 1 visits today)