Sinar baru untuk Super Moped Modenas, adakah bakal menjadi kenyataan akhirnya?

Antara perkembangan menarik mengenai Modenas sejak akhir-akhir ini ialah Kawasaki telah menambah pegangan saham mereka di dalam syarikat pengeluar motosikal nasional itu. Kemudiannya dikhabarkan pula bahawa Modenas akan memasang beberapa model Kawasaki di kilang mereka yang terletak di Gurun, Kedah.

Dan yang paling menarik sekali, dikhabarkan juga bahawa Modenas dengan kerjasama Kawasaki berminat untuk menghidupkan semula projek Super Moped Modenas, sama ada dalam varian 150cc atau 175cc. Seperti mana kita semua sedia maklum, projek Super Moped Modenas telah pun diberhentikan pembangunannya sejak tahun lepas.

Ini kerana projek itu dikatakan tidak lagi ekonomik dan teknologi yang digunakan juga dikatakan telah ketinggalan zaman. Tambahan pula saingan di dalam segmen moped 150cc sehingga 185cc di pasaran tempatan ketika ini begitu sengit, jadi Modenas merasakan peluang untuk Super Moped Modenas bertapak tidak begitu kukuh.

Bagaimanapun dengan bantuan daripada Kawasaki yang mempunyai teknologi canggih dan moden, sudah pasti pembangunan Super Moped Modenas ini akan menemui sinar baru. Cuma tidaklah dapat dipastikan setakat mana Modenas dan Kawasaki bersungguh-sungguh mahu meneruskan pembangunan model tersebut, atau ianya hanyalah cakap-cakap dalam perjumpaan di dalam bilik mesyuarat sahaja.

Sebenarnya sayang sekali apabila melihatkan Modenas tidak mengambil peluang untuk melancarkan sebuah model moped dalam kelas 150cc dan ke atas, sedangkan jenama lain seperti Yamaha, Honda dan Benelli dengan rakusnya sedang menguasai pasaran tempatan. Tambahan pula, jenama Modenas sudah amat dikenali dan sudah pasti peminat motosikal tempatan akan memberikan sokongan padu dan berterusan.

Apa yang boleh kita harapkan, perkhabaran mengenai desas-desus bahawa Modenas akan menghidupkan semula pembangunan model Super Moped yang pernah mereka bangunkan itu akan menjadi kenyataan. Dengan bantuan daripada Kawasaki, pastinya model itu akan dilengkapi dengan teknologi yang lebih moden dan berprestasi.

Untuk tidak menghampakan peminat motosikal tempatan, diharapkan selepas ini pihak Modenas akan tampil membuat kenyataan rasmi mengenai pembangunan semula Super Moped tersebut, agar kita semua mendapat maklumat terbaru mengenai hala tuju syarikat pengeluar motosikal nasional yang menjadi kebanggaan negara itu.

(Visited 1,275 times, 1 visits today)