SM Sport 110E 2019 kini di pasaran Malaysia

Pada 22hb. September 2019 yang lalu, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan SM Sport 110E, sebuah model motosikal kapcai terbaharu dalam segmen 110cc untuk pasaran tempatan. SM Sport 110E diperkenalkan selepas kejayaan model SM Sport 110R yang telah pun berada di pasaran sejak Julai 2017.

Menurut Mforce, SM Sport 110E menampilkan rekaan yang disasarkan untuk pelanggan yang mahukan harga berpatutan untuk sebuah motosikal, bermula dari serendah RM 3,488.00 (tidak termasuk SST dan lain-lain kos). Model tersebut didatangkan dengan enjin empat lejang 110cc dengan kuasa maksimum 4.5kW @ 7,500rpm dan tork 7.0Nm @ 5,000rpm, sistem gear berputar 4-kelajuan, rim aloi 17 inci dan mematuhi piawaian emisi standard EURO 3.

SM Sport 110E juga ditawarkan kepada pelanggan dengan jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), dan yang paling penting menurut Mforce ialah motosikal ini menawarkan ciri penjimatan bahan api. Sementara itu, ianya juga dilengkapi beberapa ciri keselamatan antaranya seperti suis anti-kecurian dan sepasang tayar tanpa tiub.

Ciri-ciri lain yang melengkapinya termasuklah lampu belakang LED 3D, penyerap hentak belakang Kayaba, brek dram depan dan belakang, dan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum empat liter. Terdapat tiga pilihan warna untuk SM Sport 110E seperti Lava Red, Ocean Blue dan Carbon Black. Motosikal kapcai ini telah pun berada di pasaran tempatan sejak penghujung bulan Oktober 2019 yang lepas.

(Visited 234 times, 1 visits today)