Benelli 502C 2019 dilancarkan untuk pasaran Malaysia

Dalam bulan September 2019 yang lalu, Benelli Malaysia telah melancarkan model cruiser terbaharu 502C untuk pasaran tempatan, pada harga jualan asas RM31,588.00 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan). Menurut Benelli, 502C menawarkan rekaan naked yang kontemporari, dengan tempat duduk yang luas dan selesa.

Benelli 502C model tahun 2019 ini dilengkapi enjin bersesaran 500cc (in-line four-stroke twin cylinder, 8-valve, liquid cooled) yang digandingkan dengan sistem suntikan elektronik dan transmisi 6-kelajuan yang lancar. Kuasa yang terhasil mencapai angka 47.6hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 45Nm @ 5,000rpm.

Kerangka badan 502C dibina menggunakan tiub trellis dengan plat keluli yang kukuh, memastikan motosikal urban cruiser ini kekal tangkas dan memberikan kawalan maksimum sewaktu tunggangan. Suspensi depannya menggunakan fork terbalik 41 mm dengan travel 135 mm, dan dibahagian belakangnya ialah swing arm dengan monoshock tunggal yang menampilkan adjustable spring preload dan travel 50 mm.

Sistem brek ABS daripada Brembo merupakan ciri standard untuk 502C, di mana brek depan terdiri daripada cakera double semi-floating berukuran 260 mm dengan kaliper 4-piston, manakala cakera 240 mm melengkapi brek belakang dengan piston tunggal. Rim aloi aluminium 17 inci dipadankan tayar dengan saiz 120/70-R17 dan 160/60-R17. Tangki minyaknya pula berkapasiti 21 liter untuk perjalanan yang lebih jauh.

Benelli 502C mempunyai berat kering 220 kg dengan jarak kelegaan bumi ialah 210 mm. Kelajuan maksimum boleh dicapai sehingga 160 km/j. Untuk pasaran Malaysia, tiga pilihan warna disediakan seperti Metallic Black, Matte Black dan Metallic Red. 502C telah berada di pasaran sejak penghujung bulan Oktober 2019 yang lalu.

(Visited 1,023 times, 1 visits today)