Honda CBR250RR 2020 bakal terima peningkatan kuasa untuk melawan Kawasaki Ninja ZX-25R

Menurut laporan terkini daripada banyak laman blog motosikal baru-baru ini, Honda CBR250RR terbaharu model tahun 2020 dikatakan bakal dilengkapi enjin yang lebih berkuasa, khusus untuk memberikan saingan semula kepada model Kawasaki Ninja ZX-25R 2020 yang bakal berada dipasaran tidak lama lagi.

Sebelum ini dalam segmen sportbike 250cc, tiada model lain yang dapat menyaingi spesifikasi premium dan jumlah kuasa yang dihamburkan oleh CBR250RR. Namun dengan kehadiran Ninja ZX-25R, nampaknya Honda tidak boleh berdiam diri dan perlu melakukan sesuatu demi terus memberikan saingan sengit.

Menurut laporan daripada laman sesawang popular Young Machine dari Jepun, Honda CBR250RR 2020 akan menerima peningkatan kuasa sehingga mencapai angka 41hp, tambahan 3hp daripada kuasa asal sebanyak 38hp. Selain itu dikatakan juga CBR250RR akan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch dan Quick Shifter.

Buat masa ini Honda tidak akan memperkenalkan CBR250RR versi enjin empat silinder dan akan terus kekal dengan enjin dua silinder yang ketika ini sudah cukup berkuasa. Mungkin pada masa depan jika Ninja ZX-25R mendapat sambutan hangat, tidak mustahil Honda akan memperkenalkan CBR250RR dengan enjin empat silinder pula.

Menurut Young Machine lagi, antara perubahan lain yang dilakukan untuk CBR250RR model tahun 2020 ini antaranya merangkumi kemasan kosmetik warna dan jalur grafik, termasuklah penggunaan rim roda berwarna emas yang kelihatan menawan sekali, seperti mana anda boleh lihat dalam beberapa keping gambar di bawah.

Sumber : Young Machine, TMCblog & Moto House 21

(Visited 1,940 times, 1 visits today)