Aprilia RS660 2020 dikatakan bakal masuk pasaran Malaysia hujung tahun ini

Model terbaharu Aprilia RS660 diperkenalkan secara rasmi di EICMA 2019 yang berlangsung dalam bulan November tahun lepas. Model ini dikuasakan enjin parallel twin-cylinder 660cc yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 100hp. Dengan berat hanya 169 kg, bermakna RS660 bakal menawarkan prestasi yang cukup baik.

Aprilia RS660 model tahun 2020 ini didatangkan dengan penampilan yang cukup menarik dan sporty, dilengkapi lampu depan dengan konfigurasi triple-LED dan lampu DRL yang nyata tersendiri. Posisi tunggangan juga direka untuk keselesaan penunggang dengan mengambil kira keselesaan tempat duduk, kedudukan tempat pemijak kaki dan posisi tempat bar pemegang (semi-handlebars) motosikal.

Dua pilihan warna ditawarkan untuk RS660 ini iaitu yang pertama ialah gabungan warna ungu dan merah sebagai penghormatan kepada jentera perlumbaan Aprilia RS 250 pada tahun 1994 yang lalu, dan warna kedua merupakan warna hitam yang menerima sentuhan warna merah yang memberikan impak penampilan ketara.

Aprilia RS660 turut dilengkapi sistem tunggangan Ride-by-Wire, suspensi depan USD boleh laras (adjustable upside-down) 41mm daripada Kayaba, kerangka dan lengan ayun (swingarm) yang diperbuat daripada logam aluminium ringan dan sistem brek daripada jenama Brembo dengan sepasang cakera 320mm di bahagian depan.

Sistem elektronik yang melengkapkan spesifikasi RS660 antaranya termasuklah ATC (Aprilia Traction Control), AWC (Aprilia Wheelie Control), ACC (Aprilia Cruise Control), AQS (Aprilia Quick Shift), AEB (Aprilia Engine Brake), AEM (Aprilia Engine Map) dan Cornering ABS untuk memaksimumkan keselamatan ketika di atas jalan raya tanpa meminggirkan prestasi sport motosikal tersebut.

Lebih menarik lagi Aprilia telah membangunkan lima tahap Riding Modes untuk RS660 bagi memaksimumkan pelbagai corak tunggangan, bergantung kepada pilihan penunggang. Tiga daripadanya untuk tunggangan di jalan raya iaitu Conmute (paling sesuai untuk tunggangan harian), Dynamic (ideal untuk tunggangan bercirikan sport) dan Individual yang membolehkan talaan sepenuhnya kawalan sistem elektronik.

Dua lagi Riding Modes tambahan direka untuk kegunaan litar, yang mana mod Challenge sesuai untuk sesi tunggangan di litar yang membolehkan penunggang meneroka potensi penuh RS660 dan mod Time Attack, khusus untuk penunggang yang lebih mahir dalam menala sistem elektronik sepenuhnya seperti mana diinginkan.

Kluster instrumen digital RS660 didatangkan dengan ciri warna TFT bersama-sama sistem Aprilia MIA yang menawarkan sambungan kepada telefon pintar, dengan ciri arahan suara dan panggilan masuk atau keluar. Juga diperkenalkan ialah fungsi navigasi yang membolehkan penunggang melihat paparan arah terus di kluster instrumen melalui penetapan destinasi di telefon pintar.

Setakat ini Aprilia RS660 masih belum masuk ke mana-mana pasaran dunia, namun dikhabarkan untuk pasaran Malaysia, jentera ini akan dilancarkan pada hujung tahun 2020. Pengesahan ini telah dilakukan oleh pihak Aprilia sendiri pada awal Januari tahun ini sewaktu pengenalan model edisi terhad Aprilia RSV4 X di Kuala Lumpur.