Kawasaki Ninja ZX-25R model tahun 2020 hadir dengan enjin empat silinder

Antara model terbaharu yang ditunggu-tunggu ketibaannya tahun ini ialah Kawasaki Ninja ZX-25R, yang mana kemunculan pertamanya sebelum ini ialah di pameran Tokyo Motor Show 2019 dalam bulan Oktober yang lepas. Dengan enjin 250cc empat silinder, Ninja ZX-25R model tahun 2020 ini mendatangkan keterujaan yang bukan sedikit kepada ramai peminat motosikal segmen sportbike terutamanya di Asia Tenggara.

Buat masa ini Ninja ZX-25R masih belum dilancarkan secara rasmi sama ada untuk pasaran Jepun atau pun Indonesia, namun menurut maklumat terkini, pelancarannya di pasaran Indonesia mungkin akan berlaku dalam bulan April depan dalam acara Kawasaki Bike Week 2020. Sementara itu dikatakan juga pasaran Thailand akan melancarkan model tersebut tidak lama lagi, namun tarikh sebenar tidak diketahui.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model Kawasaki ZX-25R terbaharu ini termasuklah enjin 249cc dengan 4-Silinder, DOHC, 16-Valve, SF Fork-BP Suspension, Horizontal Back-link Suspension, High-tensile Steel Trellis Frame, Radial-mount Monoblock Caliper, dilengkapi sistem elektronik KTRC, KQS, Power Modes dan sistem brek ABS. Bagaimanapun jumlah kuasa dan tork masih belum didedahkan.

Berkenaan harga menurut sumber dari laman blog di negara jiran Indonesia, ianya mungkin akan ditetapkan bermula dari 100 juta Rupiah sehingga mencapai 150 juta Rupiah, bermakna harganya dalam lingkungan antara RM 30,000.00 sehingga RM 45,000.00. Pilihan varian yang mungkin akan ditawarkan pula adalah dua varian kesemuanya, merujuk kepada varian asas dan varian dengan spesifikasi lengkap.

Memandangkan ramai yang tertanya-tanya sama ada Ninja ZX-25R ini akan dibawa masuk atau pun tidak, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd dijangka tidak akan keberatan untuk menjualnya di pasaran tempatan, namun pada harga yang melangkaui harga Ninja 250 yang ketika ini dijual sekitar RM 24,000.00. Jika harganya bermula RM 30,000.00 ke atas, adakah ianya akan senasib dengan model Honda CBR250RR?

(Visited 6,677 times, 1 visits today)