Honda CBR150R 2020 tampil lebih segar di pasaran Indonesia

Bermula awal tahun 2020, PT Astra Honda Motor (AHM) dengan rasminya memperkenalkan Honda CBR150R yang kini tampil dengan warna dan jalur grafik terbaharu lebih segar. Warna baharu yang diperkenalkan itu ialah Dominator Matte Black, bersama-sama warna Matte Black dan Victory Black Red. Dua warna terdahulu Honda Racing Red dan MotoGP Edition turut kekal ditawarkan untuk musim 2020.

Honda CBR150R mula diperkenalkan di pasaran Indonesia pada awal tahun 2016, yang mana ianya hadir dengan DNA “Total Control” yang membuatkannya mudah dikendalikan. Mempunyai perwatakan lincah dan pantas, CBR150R dilengkapi sistem brek Anti-Lock Braking System (untuk varian ABS) untuk ciri keselamatan yang lebih mantap, di samping tambahan ciri Emergency Stop Signal (ESS).

Menurut AHM, ciri ESS ini secara automatik akan mengaktifkan lampu hazard ketika sistem brek motosikal digunakan secara mengejut, seterusnya memberikan informasi kepada pengguna jalan raya yang lain terutama pengguna di bahagian belakang bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan. Ciri-ciri lain yang memberikan keselesaan kepada penunggang adalah seperti penampilan visor yang lebih tinggi, instrumen panel meter digital yang moden dan sistem semua lampu LED.

Suspensi depan dan belakang pula hadir dengan ciri boleh laras 5 level untuk keselesaan dan kawalan yang optimum seperti mana yang diinginkan oleh penunggang. Berbekalkan enjin 150cc DOHC dengan transmisi enam kelajuan, Honda CBR150R terbaharu dilengkapi dengan 4-Valve dan berpendingin cairan (liquid-cooled), seterusnya menghasilkan prestasi tinggi 17.1 PS @ 9,000rpm dan tork maksimum 14.4Nm @ 7,000rpm.

Honda CBR150R 2020 terbaharu memiliki 4 warna untuk setiap varian. Warna Matte Black ditawarkan pada harga OTR (On The Road) Jakarta Rp 34,934,000 untuk varian STD, manakala warna Victory Black Red berharga sebanyak On The Road (OTR) Jakarta Rp 34,934,000 untuk varian STD dan Rp 38,934,000 untuk varian ABS.

Sementara itu bagi model dengan warna Dominator Matte Black serta Honda Racing Red, kedua-duanya ditawarkan pada harga OTR (On The Road) Jakarta Rp 35,633,000 untuk varian STD dan Rp 39,633,000 untuk varian ABS. Honda CBR150R dengan warna MotoGP Edition pula boleh dimiliki pada harga sebanyak On The Road (OTR) Jakarta Rp 39,834,000 untuk varian ABS.

Sementara itu untuk pasaran Malaysia, sehingga kini tidak terdengar ura-ura sama ada model Honda CBR150R ini akan dilancarkan oleh Boon Siew Honda. Jika model tersebut dilancarkan di sini, ianya boleh memberikan saingan kepada model Yamaha YZF-R15, seterusnya menjadikan dunia permotoran tempatan lebih meriah.

(Visited 1,974 times, 1 visits today)