Yamaha XMAX 250 terima warna baharu untuk tahun 2020

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini pada pertengahan Januari 2020, telah memperkenalkan skuter Yamaha XMAX 250 terbaharu yang kini didatangkan dengan tiga pilihan warna baharu yang lebih menarik dan premium. Ketiga-tiga warna tersebut ialah Matt Grey (Kelabu), Matt Blue (Biru) dan Matt Silver (Perak).

Yamaha XMAX 250 model tahun 2020 tersebut dikuasakan enjin Blue Core berkapasiti 250cc, sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-Valve dengan sistem suntikan bahan api yang menghasilkan kuasa dan tork yang berprestasi dan cemerlang. Enjin dengan sistem transmisi automatik CVT tersebut menghasilkan kuasa maksimum 16.8 kW @ 7,000 rpm dengan tork setinggi 24.3 Nm @ 5,500 rpm.

Yamaha XMAX 250 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 13 liter yang sesuai untuk perjalanan jauh, sistem brek cakera depan dan belakang, ketinggian tempat duduk 795 mm, sistem Smart Key yang memudahkan, lampu LED sepenuhnya dengan ciri DRL (Daytime Running Light), soket pengecas 12V dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk yang boleh menempatkan sehingga dua buah helmet bermuka penuh.

Ciri-ciri lain yang memberikan kemudahan kepada penunggang termasuklah paparan instrumen panel meter dengan latar belakang gelap, paparan tachometer dan speedometer yang jelas, dan juga paparan tengah Multi Information Display (MID) yang memberikan pelbagai informasi tambahan setiap masa kepada penunggang. Untuk ciri keselamatan yang lebih baik, XMAX 250 turut dilengkapi sistem brek ABS (Anti-Lock Braking System) dan sistem kawalan TCS (Traction Control System).

Skuter Yamaha XMAX 250 terbaharu model tahun 2020 ini ditawarkan pada harga RM 21,500.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

(Visited 1,531 times, 1 visits today)