Honda Wave Alpha 2020 kini hadir dengan gaya baharu

Boon Siew Honda pada awal bulan Disember 2019 yang lepas secara rasminya telah memperkenalkan model kapcai Honda Wave Alpha terbaharu untuk tahun 2020. Model tersebut bukan saja tampil dengan rekaan jalur grafik baharu yang lebih menarik, malah kini hadir dengan reka bentuk moden yang lebih bergaya dan sporty.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Honda Wave Alpha di pasaran tempatan sebelum ini didatangkan dengan rekaan lampu signal hadapan yang telah menerima kritikan daripada majoriti peminat. Mungkin disebabkan itu Boon Siew Honda kini telah mengubah rekaan tersebut, dan kini lampu signal hadapan itu ditempatkan di penutup bahagian hadapan yang kelihatan lebih sporty dan menawan.

Menurut Boon Siew Honda, gabungan lampu signal hadapan dengan penutup bahagian hadapan badan motosikal itu secara tidak langsung menghasilkan prestasi pacuan aerodinamik yang lebih baik, dan diperkuat secara visual dengan rekaan jalur grafik yang menginspirasikan. Sementara itu, keselesaan penumpang belakang telah diperhalusi dengan pemegang genggaman berbahan getah yang selesa, khusus untuk model varian Roda Tuangan.

Untuk pasaran tempatan, Honda Wave Alpha yang sinonim dengan trend semasa ini ditawarkan dengan harga yang sangat berpatutan di dalam segmen motosikal 110cc. Ianya juga dilengkapi dengan ciri-ciri khas yang praktikal seperti ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk, tangki bahan api sebesar 3.7 liter, serta kemudahan sistem penghidup yang didatangkan secara tendang dan elektrik.

Honda Wave Alpha dikuasakan enjin dengan ciri jimat bahan api, berpenyejuk udara dan satu silinder yang boleh menghasilkan kuasa 6.14kW pada putaran 7,500rpm dan tork setinggi 8.42 Nm di putaran 5,500 rpm. Bagi model tahun 2020 ini, Honda Wave Alpha hadir dengan pilihan 3 warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow. Dua varian yang tersedia ialah jenis Roda Jejari dan Roda Tuangan.

Berikut ialah senarai harga jualan asas yang ditawarkan, dan ianya tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan :

  • 2020 Honda Wave Alpha (Roda Tuangan) : RM 4,589.00
  • 2020 Honda Wave Alpha (Roda Jejari) : RM 4,339.00

Boon Siew Honda turut menawarkan Honda Wave Alpha baharu dengan jaminan kilang selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan (mana-mana yang tiba dahulu), bagi memastikan pelanggannya dapat menikmati penyelenggaraan berkualiti tinggi dan juga ketenangan minda. Jadi adakah anda akan memilih model ini, atau memilih model Honda Dash 125 2020?